Seperti biasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. Ingat, tayar tidak mudah pecah tanpa sebarang sebab konkrit. Jadi, penyenggaraan yang betul dan pemeriksaan berkala ke atas tekanan angin dapat mengurangkan risiko insiden tayar pecah dan meletup. Jangan lupa pula periksa tayar simpanan di belakang but.
Jika tayar rosak walaupun cuma terlanggar tebing jalan (kaki lima) atau pembahagi jalan, pemeriksaan pakar tetap perlu dilakukan bagi mengetahui sama ada tayar berkenaan masih boleh digunakan ataupun perlu segera digantikan baharu.
Ini juga alasan terbaik supaya ita tidak sesuka hati membeli tayar terpakai, kononnya lebih jimat. Sebab apa? Sebabnya, kita sendiri tidak tahu apakah kejanggalan atau kerosakan sebenar yang berlaku ke atas tayar berkenaan? Adakah kita periksa tentang tarikh luput tayar terpakai itu?
Reaksi melampau mungkin menyebabkan kereta kita berpusing tanpa kawalan, berubah haluan memasuki laluan sesak atau bertentangan arus, menghentam pembahagi jalan dan seterusnya bergolek. Harus diingat, peluang terselamat lebih tinggi jika kita memakai tali pinggang keledar.
Jadi, jika tayar pecah ketika memandu, inilah beberapa tip yang perlu anda lakukan:
1. KAWAL DIRI, JANGAN TEKAN PEDAL MINYAK
Memang susah, tetapi itulah langkah pertama. Bawa bertenang dan cuba kawal diri. Tayar kereta kita akan mula membelok dan bergegar, tetapi kereta kita sebenarnya masih kekal seimbang. Kekalkan kaki pada posisi pedal sedia ada. Jangan sesekali menekan pendikit atau brek!
Ini kerana apabila brek ditekan mengejut, tayar akan mula terkunci (tidak dapat dibelok), kita akan mula hilang kawalan stereng dan kereta akan berubah haluan atau terhuyung-hayang mengikut hukum fizik berbanding arah yang kita mahukan. Tayar yang terkunci juga meningkatkan peluang kereta berguling (roll over). Ini kerana kereta mengalami situasi ketidakseimbangan mengejut kerana tayar pecah tiba-tiba.
2. BOLEH MEMBREK, TETAPI JANGAN MENGEJUT
Dengan tayar masih membelok atau terseret, anda boleh membrek. Tayar depan dan belakang mempunyai nisbah kuncian brek berbeza. Kita mungkin tidak tahu tayar mana satu sudah pecah. Keputusan membrek mengejut hanya akan membuatkan kereta membelok dan berpusing lebih teruk, termasuk merosakkan sistem brek seperti menyebabkan brek terkunci.
Pada situasi beginilah ciri keselamatan seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sangat penting. Tetapi bagi pemandu kereta yang tiada ciri tersebut, anda mesti menahan diri daripada menekan brek mengejut. Bayangkan bola yang disepak kuat. Perginya memang laju, tetapi sampai satu tahap pasti berhenti apabila daya pada bola itu berkurangan. Jadi, tindakan menyekat haluan bola yang sedang memecut hanya akan menyebabkan impak teruk sama ada kepada bola atau objek yang menyekat boleh sendiri (bayangkan pemain bola terkena rembatan).
Ingat fizik! Cuba membrek secara mengepam, iaitu tekan dan lepas berkali-kali sehingga kereta mencapai kelajuan yang mampu dikawal.
3. BETULKAN STERENG DENGAN LEMBUT
Roda stereng ialah komponen sama yang mengawal roda tayar. Secara normal, tayar kereta akan patuh ke mana arah tuju yang dibawa stereng. Dalam situasi tayar pecah ketika memandu, situasi berubah. Kita mungkin mahu belok ke kanan, tetapi kereta belok ke kiri. Atau mahu belok 30ΒΊ, sebaliknya kereta belok 45ΒΊ.
Apabila tayar pecah, kereta sebenarnya masih dalam kawalan walaupun keseimbangan kereta sudah tidak sekata lagi. Ini membuatkan stereng bergegar dan membelok ke arah tayar pecah. Misalnya, jika tayar depan kanan pecah, stereng akan cenderung belok ke kanan kerana berat tertumpu ke bahagian pecah tersebut.
Cuba putar stereng arah melawan dan luruskan stereng secara lembut tetapi pantas. Jangan pusing habis!
4. RENDAHKAN GEAR, GUNAKAN BREK ENJIN
Jika memandu auto, terus turun gear daripada D4 kepada posisi D3 dan D2. Jika manual, perlu tukar gear dengan pantas tanpa menekan klac. Ini dinamakan pembrekan enjin, antara kaedah menghentikan kelajuan kereta dengan efektif dan selamat.
Seperti bermain Need For Speed, di depan anda ialah selekoh tajam dan sudah tentu kita perlu turunkan gear 6 kepada 3 dengan pantas. Kita pun tahu kalau membrek semata-mata ketika layan corner dalam kelajuan tinggi hanya akan menyebabkan kereta berpusing-pusing hingga terkeluar amaran 'Wrong Way'. π
Samalah ketika berdepan situasi tayar pecah ketika memandu.
5. CUBA KEKAL DALAM LALUAN
Cuba sedaya upaya mengawal kereta dalam laluan memandu, bukan menghala ke tepi jalan. Jangan pula sesekali cuba melanggar apa-apa objek sama ada pembahagi jalan, pengadang jalan, bonggol atau pokok. Tindakan itu cuma menempah maut.
Apabila berjaya melakukan 3 langkah di atas, kereta biasanya sudah berada dalam kawalan. Langkah seterusnya ialah menukar tayar. Jangan berhenti di tepi jalan begitu saja. Carilah kawasan kurang sesak dan elakkan berhenti di selekoh.
6. NYALAKAN LAMPU AMARAN (HAZARD LIGHTS)
Lakukan perkara ini selepas situasi jadi terkawal. Bergerak perlahan-lahan ke dalam lorong kecemasan dan berhentilah di kawasan yang difikirkan selamat dan ada sedikit teduhan. Maklumlah, tukar tayar bukanlah sepantas seminit dua.
Kalau hentian rehat (di lebuh raya) tidak jauh, atau ada susur keluar ke kawasan lapang, pilihlah berhenti di sana kerana lebih selamat.
7. JAGA-JAGA DI LORONG KECEMASAN
Jika tiada pilihan dan perlu juga berhenti di lorong kecemasan. Gunakan lampu kelip kecemasan atau pakai baju reflektif untuk meningkatkan kejelasan, terutama jika pancit pada waktu malam. Jika ada reflektor segi tiga, letakkan di belakang kereta di luar tepi jalan pada jarak 45 meter dan bukan 3 atau 5 langkah seperti dilakukan ramai pemandu. Itu sangat bahaya!
Jika anda sendiri yang menukar tayar, pastikan dapat dilihat pengguna jalan raya lain. Lebih selamat jika dapat hubungi terus pembantu jalan raya seperti Peronda PLUS, atau pihak insurans, terutama kalau kita tidak pasti dengan prosedur menukar tayar.