Pengikut

BERGANTUNG 100% PADA ALLAH

Katakanlah (wahai Muhammad)

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”. Ayat 162 surah al-An’am

Setiap hari sekurang-kurangnya kita akan membaca ayat di atas sebanyak 5 kali. Samada kita menghayatinya atau ketika fikiran kita melayang entah ke mana kerana kusyuk yang tidak kunjung tiba, namun itulah janji kita kepada Allah.

Muslim itu pengikut. Pengikut agama islam atau dengan nama lain penganut. Bezanya dengan mukmin adalah mukmin ini adalah orang yang menyerahkan 100% jiwa dan raga kepada Allah. Muslim itu ramai tetapi mukminnya sedikit sahaja. Mukmin itu melakukan seperti mana dia berkata dan kata-katanya adalah baik-baik belaka

Maka dengan itu, orang mukmin akan menghayati dan melakukan seperti yang dijanjikan (dikatakan) pada Allah setiap kali solat iaitu sesungguhnya solat, ibadat, hidup dan mati adalah untuk Allah semata-mata. Penyerahan diri 100% dengan penuh keyakinan dan keikhlasan kepada Allah.

Ibadah orang mukmin adalah kerana cintanya pada Allah. Bukan kerana sebab yang lain. Bukan kerana ingin menjadi jutawan, kerana minta sembuh daripada sakit, kerana jodoh, kerana ingin menjadi kaya, kerana ingin berjaya di dalam sesuatu dan lain-lain. Segala keinginan itu diletakkan ditempat yang kedua, ketiga atau selain daripada yang utama dan pertama (cinta kepada Allah).

Apabila kita inginkan sesuatu, sesuatu yang amat sukar adalah penyerahan 100% kepada Allah. Apabila kita sakit, kita berdoa pada Allah tetapi di dalam hati masih ada keraguan dan gelisah dengan sakit yang dialami. Jiwa tidak mampu menjadi tenang. Hati sentiasa bimbang dan fikiran bercelaru memikirkan cara untuk berubat

Saya selalu menasihatkan mereka yang sakit sentiasa komunikasi dengan Allah. Saya tidak pasti sejauh mana orang mengambil berat dengan komunikasi dengan Allah ini. Orang yang sakit lakukan luahan rasa apa sahaja kepada Allah. Saya sering meminta mereka membaca doa “”Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” bermakna sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNya kami dikembalikan.

Kita tidak tahu apakah ubat yang terbaik untuk sakit kita. Maka kita serahkan 100% kepada Allah untuk memberi kita ilham, jalan penyelesaian, ubat dan sebagainya. Kita memohon kepada Allah agar memberi jalan untuk mengubat sakit kita. Kita ini milik Allah. Kita kembalikan pada Allah masalah yang Allah berikan kepada kita kerana Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Nah! Di sini Allah menguji kita sejauh mana kita menyerahkan 100% jiwa dan raga kita kepada Allah. Kita belum menyerahkan 100% keyakinan pada Allah jika kita masih bimbang dengan sakit tersebut. Hati tidak tenang, jiwa tidak tenteram memikirkan apakah ubat yang terbaik untuk sakit kita

Walaupun kita memohon kepada Allah sepanjang masa, jika hati dan jiwa masih bimbang dengan sakit yang kita alami, di sinilah kayu pengukur kita dengan penyerahan 100% hidup dan mati hanya kepada Allah. Samada kita hanya cakap sahaja yakin dengan bantuan Allah sedangkan kita masih bimbang dan tidak tenang atau kita benar-benar yakin dengan bantuan Allah.

Luahan di dalam komunikasi dengan Allah pasti dapat menenangkan diri kita kerana kita yakin dengan pertolongan Allah. Apabila jiwa tenang, fikiran berada di dalam keadaan di luar biasa. Pasti kita lebih tenang berfikir dan saya teramat yakin pasti Allah akan berikan ilham dan juga penunjuk dengan bahasa alamNya untuk menyembuhkan penyakit kita.

Keyakinan saya kerana banyak pengalaman yang saya alami dengan penyerahan jiwa dan raga 100% kepada Allah apabila saya mempunyai masalah dan keinginan. Allah selesaikan masalah saya dan makbulkan permintaan saya dengan pelbagai cara iaitu secara gerak hati, bahasa alam dan ada juga yang Allah berikan secara serta merta. Maha Berkuasa Allah ke atas setiap sesuatu.

Luahkan apa sahaja yang tersirat di hati kepada Allah melalui komunikasi denganNya. Serahkan 100% keyakinan kepada Allah dengan penuh keikhlasan. Penyerahan 100% jiwa dan raga juga keyakinan serta keikhlasan hanya akan wujud apabila kita sering BERKOMUNIKASI dengan Allah. Komunikasi tidak hanya di dalam solat wajib, solat sunat atau di dalam ibadah-ibadah yang lain tetapi juga setiap saat.

Iyyakana'budu wa iyya kanasta'in

(Hanya Engkaulah yang kami ibadahi dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan). Tuhan akan tolong pada hamba yang sujud kepada DIA.

bangun 1/3 malam bermunajat kepadaNya. tahajud, istikharah, taubat, hajat. insyaallah dengan izinNya DIA akan hantar yang terbaik

KepadaMu kami sembah dan kepadaMu kami minta pertololongan. Maha Suci Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada Tuhan melainkan Allah. Segala Puji Hanya Layak BagiNya.


Semoga bermanfaat, inshaa Allah.. 😊😊








Tiada ulasan:

Strategi Melupuskan Hutang

STRATEGI MELUPUSKAN HUTANG 1. Berhenti membuat hutang baru 2. Senaraikan hutang dan jumlah ansuran bulanan, serta kadar, kadar sebenar (effe...